Ras dan
Rasisme
Di Malaysia,
konsep-konsep ras dan etnik kerap kali dicampur aduk sehingga maknanya menjadi
Iebih kurang sama. Orang Melayu, Cina dan India serta pelbagai etnik lain di
Sabah dan Sarawak yang sepatutnya dikenali sebagai etnik, juga dipanggil ras
dalam kehidupan seharian.
Pada
dasarnya, ras boleh dikatakan sebagai sebuah kelompok sosial yang mempunyai
tanda pengenalan kolektif berasaskan ciri-ciri fizikal-biologikal nyata,
seperti warna kulit, warna mata, warna rambut dan sebagainya. Ciri paling
ketara yang digunakan untuk membezakan kumpulan manusia ialah warna kulit.
Rasisme
ditakrifkan sebagai pandangan, pemikiran, atau kepercayaan negatif oleh sesuatu
kelompok sosial atau para anggotanya terhadap sesuatu kelompok lain berdasarkan
perbezaan wajah fizikal-biologikal atau ras semata-mata dan ini ditunjukkan
secara terbuka melalui perilaku atau tindakan terbuka. Rasisme ialah gabungan
prejudis dan kuasa yang diartikulasi melalui diskriminasi berasaskan warna
kulit dan ciri-ciri fizikal-biologikal yang lain.
Rasisme wujud
pada dua tahap: tahap individu dan tahap institusi. Pada tahap individu,
rasisme berlaku dalam bentuk kepercayaan bahawa wujudnya ras tertentu yang
berstatus lebih tinggi dan ada ras yang berstatus lebih rendah. Rasisme pada
peringkat individu ini wujud dalam bentuk kepercayaan dan sikap individu. Pada
tahap institusi, rasisme melibatkan dasar dan pelaksanaan yang bersifat
diskriminasi, seterusnya membentuk ketidaksamaan bagi masyarakat daripada ras
yang berbeza. Rasisme pada tahap institusi ini dapat dilihat secara tersirat
dalam struktur sosial.
Prejudis dan Stereotaip
Prejudis
ditakrif sebagai pandangan negatif mengenai ahli atau kelompok etnik lain yang
tersemat dalam hati seseorang atau kelompok etnik tertentu. Prejudis tidak diluahkan
secara terbuka. Lazimnya, pandangan ini tidak berasaskan maklumat yang jelas,
tepat atau mencukupi. Apabila prejudis disuarakan, prejudis menjadi stereotaip.
Prejudis antara etnik berlaku apabila sesebuah
kumpulan etnik memandang negatif terhadap kumpulan etnik lain. Prejudis yang
kuat terhadap kumpulan etnik lain sukar diubah walaupun fakta yang kukuh
diberikan bagi membuktikan bahawa pemahaman tersebut adalah salah. Melalui
proses sosialisasi, sikap prejudis disalurkan daripada satu generasi kepada
generasi lain. Kesan sikap prejudis semakin mudah dilihat apabila berlaku
persaingan bagi mendapatkan sesuatu yang terhad sama ada dalam aspek politik,
ekonomi atau sosial dan sebagainya.
Stereotaip
merupakan kenyataan-kenyataan umum yang negatif terhadap sesuatu kumpulan etnik
seperti "semua orang Arab itu beragama Islam", "orang Belanda
itu bersifat kedekut" dan sebagainya. Dengan kata lain, stereotaip ialah
gambaran berlebih-Iebihan tentang sesuatu perlakuan baik atau buruk yang
ditujukan kepada sesuatu kumpulan etnik oleh etnik lain. Hal ini terhasil
apabila berlaku pertembungan dua atau lebih komuniti etnik. Fahaman stereotaip
ini akan menimbulkan perasaan yang negatif dalam kalangan masyarakat, khususnya
masyarakat majmuk di Malaysia. Hal ini kerana fahaman stereotaip akan
mengakibatkan sesuatu kumpulan etnik itu memandang rendah terhadap kumpulan
etnik lain dan seterusnya membataskan interaksi antara etnik dan menimbulkan semangat
perkauman yang menebal.
Ringkasnya, setiap kumpulan etnik mempunyai
pandangan stereotaipnya terhadap kumpulan etnik yang lain. Sebagai contoh,
orang Barat mempunyai pandangan stereotaip terhadap kumpulan-kumpulan etnik di
Malaysia. Begitu juga, etnik Melayu mempunyai gambaran stereotaip terhadap
etnik Cina dan India dan sebaliknya. Maka, setiap pertembungan etnik akan
menghasilkan stereotaip yang berupa gambaran negatif atau positif.
Akomodasi dan Asimilasi
Akomodasi merupakan proses yang menyebabkan
setiap kumpulan etnik menyedari serta menghormati norma dan nilai kumpulan
etnik lain dan tetap mempertahan budaya hidup masing-masing. Konsep ini
diwakili oleh formula A + B + C = A + B + C, di sini A, B dan C merujuk kepada
budaya (Ting Chew Peh, 1987). Pelbagai kumpulan etnik hidup secara harmonis dan
menghormati antara satu sama lain. Pada peringkat pemerintahan pusat, setiap
kumpulan etnik mempunyai wakil dalam bidang ekonomi dan pendidikan dan mereka
saling bergantung. Konsep ini begitu meluas diamalkan di Malaysia kerana setiap
kumpulan etnik bebas mengamalkan budaya mereka dalam keadaan harmoni. Jika
dilihat di luar Malaysia, Switzerland ialah negara yang mempunyai hubungan
etnik bersifat akomodasi kerana etnik Jerman, Perancis dan Itali saling membuat
penyesuaian antara mereka.
Asimilasi merupakan satu proses percantuman
dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu
kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Menurut Vander Zanden
(seorang ahli sosiologi), asimilasi ialah satu proses dalam mana
kelompok-kelompok yang berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan,
menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama (disebut dalam Chew
Hock Thye, 1975). Asimilasi mutlak atau sempurna menyebabkan berlakunya
penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti. Konsep ini
diwakili dengan formula A + B + C = A, di sini A dalam hal ini mewakili
golongan dominan sementara B dan C mewakili kumpulan etnik minoriti. Contohnya,
orang Melayu di Thailand telah mengalami proses asimilasi yang menyebabkan
nama, bahasa dan hampir semua aspek cara hidup mereka (kecuali agama) telah
disatukan dengan amalan dan cara hidup orang Thai. Di Malaysia, apa yang
berlaku ke atas masyarakat Jawa, Cina Kelantan, Baba dan Nyonya merupakan contoh
berlakunya proses asimilasi. Namun, bagi etnik Cina di Kelantan serta Baba dan
Nyonya, asimilasi berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan
kepercayaan atau agama.
Proses
asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan
etnik berbeza budaya bagi suatu tempoh yang lama. Kejayaan asimilasi umumnya
bergantung kepada kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan
menerima identiti kumpulan etnik majoriti; terdapat banyak persamaan budaya
antara kumpulan etnik; dan kesanggupan kumpulan etnik majoriti menerima
kumpulan etnik minoriti.
Amalgamasi dan Akulturasi
Amalgamasi merupakan satu proses yang terjadi
apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis budaya dan ras baru.
Cara utama dalam menentukan proses amalgamasi adalah dengan terjadinya
perkahwinan campur antara kumpulan etnik. Teori amalgamasi dinyatakan dalam
bentuk formula A + B + C = D, di sini A, B, C mewakili kumpulan etnik berlainan
dan D mewakili amalgam, satu kumpulan baru terhasil daripada penyatuan A, B dan
C. Sebagai contoh, kumpulan-kumpulan etnik yang sedia wujud mengamalkan
perkahwinan campur lalu membentuk satu generasi baharu atau budaya baharu tanpa
menuruti budaya asal mereka.
Akulturasi
merupakan satu proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau
kelompok dari sesuatu kebudayaan lain yang berbeza. Akulturasi terjadi apabila
satu kelompok manusia dengan suatu kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur
dari suatu kebudayaan asing yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu
akhirnya diterima dan diolah dalam kebudayaan sendiri. Berbeza dengan proses
asimilasi, proses akulturasi tidak menyebabkan kehilangan identiti asal
masyarakat penerima.
Dalam sejarah
tamadun manusia, sering berlaku pertemuan atau pertembungan antara dua atau
lebih kebudayaan. Proses ini menyebabkan berlakunya proses -meminjam. Pada
peringkat awal, unsur pinjaman digunakan secara langsung kemudian diolah serta
dijadikan unsur kebudayaan sendiri. Di Malaysia, beberapa kes boleh dijadikan
rujukan seperti penggunaan tali leher, angpau, makanan, Duran dan sebagainya.
Tetapi, jika unsur budaya yang diambil itu tidak diolahbaik, pastinya tindakan
ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada sesuatu masyarakat.
Tidak mudah
untuk membentuk sebuah masyarakat yang mencapai tahap akulturasi. Akulturasi
lebih mudah dicapai apabila melibatkan budaya bersifat kebendaan yang
mendatangkan manfaat seperti pakaian Barat. Unsur-unsur budaya yang bdak
berbentuk kebendaan seperti ideologi dan pemikiran adalah lebih sukar drterima.
Etnosentrisme dan Etnisiti
Etnik dapat
dikelaskan melalui perbezaan budaya. Etnik sering berbeza berdasarkan ciri
budaya seperti adat resam, pola keluarga, pakaian, pandangan mengenai
kecantikan, orientasi politik, kegiatan ekonomi dan hiburan. Di Malaysia, orang
Melayu, Cina, India, Kadazan Dusun, Melanau dan pelbagai lagi dianggap sebagai
etnik. Etnik pada dasarnya bersikap etnosentrik, iaitu menganggap ciri-ciri
budayanya sebagai wajar, betul dan lebih utama daripada budaya etnik lain yang
dipandang rendah serta dianggap ganjil ataupun berada pada tahap rendah atau
tidak bermoral.
Konsep etnik
membentuk konsep etnisiti dan etnosentrisme. Etnisiti merujuk kepada rasa
kekitaan sesuatu kumpulan etnik tertentu. Hal ini bererti wujudnya satu
kebudayaan atau sub budaya yang jelas yang menyatukan anggotanya dengan satu
sejarah, nilai, sikap dan tingkah laku yang sama. Etnosentrisme pula merujuk
kepada kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam kalangan anggota sesebuah
kelompok etnik bahawa budaya dan etnisiti mereka adalah jauh lebih baik dan
hebat daripada kelompok lain. Etnosentrisme juga membawa makna suatu perspektif
yang melihat kelompok etnik lain menerusi lensa dan kaca mata etnik sendiri.
No comments:
Post a Comment